LIKE kembara hadi di FACEBOOK

Please wait..10 Seconds Cancel
Artikel Terkini :
Loading...

Terkini

3 ELOK 2 JANGAN : 3 PERKARA YANG ELOK DISEBUT

3 ELOK 2 JANGAN : 3 PERKARA YANG ELOK DISEBUT

Perbanyakkan Menyebut Allah Daripada Menyebut Makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa.

Perbanyakkan Menyebut Akhirat Daripada Menyebut Urusan Dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang
paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting,tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhir!

Perbanyakkan Menyebut Dan Mengingat Hal-Hal Kematian Daripada Hal-Hal Kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?

2 Perkara Jangan Disebut:
1) Jangan Menyebut-Nyebut Kebaikan Diri Dan Keluarga.
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau  membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga.

Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

2) Jangan Sebut-Sebut Dan Tunjukkan Keaiban Atau Orang Lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak.
no image

Bercinta sebelum atau selepas kahwin ,yang mana satu anda pilih?

Apa maksud cinta? Ramai yang mengaku sedang dilamun cinta, tetapi tidak memahami dengan sebenar apa maksud cinta. Cinta hanyalah sebuah perasaan. Sama seperti perasaan gembita, takut, sedih, bangga, hormat dan lain-lain. Maka apakah istimewanya cinta ini? Semua perasaan yang diciptakan oleh Allah, semuanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang mempunyai "bidang tugas" masing-masing dalam mengawal pergerakan hati-hati manusia. Contohnya, perasaan takut akan menyebabkan jantung kita berdegup dengan lebih pantas. Manusia yang "diserang" perasaan takut akan menjadi berdebar-debar dan tidak senang duduk.Perasaan gembira pula selalunya akan menyebabkan hati lebih tenang. Jantung berdegup pada kadar degupan yang selesa.

Pada kali ini, saya hanya ingin membicarakan soal cinta, memandangkan ramai yang masih buta. Ramai antara yang keliru dan bertanya, salahkah bercinta? Kali ni biarlah saya olah dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Bagi menjawab persoalan tersebut, ingin saya timbulkan satu persoalan yang lain. Salahkah berlumba motosikal? Kita lihat bagaimana golongan-golongan pelumba haram ini begitu bermaharajalela di jalanan, berlumba tanpa menghiraukan keselamatan diri dan orang lain. Adakah salah perbuatan mereka? Ya, salah. Tetapi bukanlah lumba motosikal itu yang salah, tetapi perbuatan mereka menggunakan jalan raya yang terbuka kepada umum sebagai gelanggang perlumbaan itulah kesalahan mereka.

Tetapi bagaimana jika demi minat mereka, mereka  sanggup korbankan sedikit wang untuk menyewa sebuah  litar khas untuk berlumba. Mengorbankan sedikit wang untuk membeli alat-alat keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga ketika berlumba. Adakah mereka salah? Tidak... Samalah seperti cinta.Perkahwinan ibarat sebuah litar perlumbaan. Cinta sebelum berkahwin adalah ibarat berlumba di jalan raya yang terbuka yang merupakan satu kesalahan di samping bahaya yang sentiasa menunggu. Cinta selepas berkahwin ibarat berlumba di dalam litar. Ianya lebih selamat, tidak melanggar undang-undang dan lebih seronok dan bahagia.

Cinta sebelum berkahwin adalah perbuatan si pengecut yang tidak berani memikul tanggungjawab apabila bercinta. Some people may say that, untuk berkahwin dengan seseorang, kita perlu kenal dahulu dengannya.
Ya, ini betul. Siapa kata kita mesti berkahwin dengan orang yang kita tidak kenal? Tapi perlu ditegaskan di sini, tidak sama antara "kenal" dengan "cinta".  Kita boleh kenal seseorang tanpa kita bercinta terlebih dahulu.

Sebagai contoh, ingin saya timbulkan satu persoalan di sini. Adakah anda mempunyai musuh? Jika ya, adakah anda kenal musuh anda? Sudah tentu anda kenal musuh anda. Tetapi apabila anda kenal musuh anda, tidak bermakna anda bercinta dengan dia. Betul? Begitu juga apabila anda bercinta. Jika anda bercinta, belum tentu anda kenal dia. Ramai orang yang bercinta sebelum berkahwin hanya menyedari perangai sebenar pasangan mereka selepas berkahwin. Ini bermakna, ketika bercinta, mereka hanya nampak kebaikan pasangan mereka dan lupa akan segala keburukannya. Betul?

Jika hanya nampak kebaikan,ini bukanlah bermakna "kenal". Kenal bermaksud, kita faham dan tahu setiap baik dan buruk seseorang itu. In short, sebelum berkahwin, kita perlu kenal pasangan kita terlebih dahulu, bukan bercinta terlebih dahulu. Kerana itulah kita ada kaedah merisik, supaya kita kenal pasangan dengan betul-betul. Jika kita cuba berkenal melalui cara cinta, syaitan akan menutup pandangan kita daripada melihat keburukan pasangan sehingga kita nampak si dia begitu sempurna.

Satu lagi persoalan lain. Ada orang lain juga bertanya, cinta ni fitrah manusia. Kita tak boleh tolak. Memang saya akui. Cinta itu fitrah. Tidak boleh ditolak, tetapi boleh DIKAWAL. Mengapa ada orang tidak boleh mengawal perasaan cinta? Jawapannya kerana selalu melayan perasaan cinta. Unsur-unsur "cinta" dalam filem-filem dan lagu-lagu telah menyebabkan hati-hati manusia semakin hari semakin parah dengan perasaan cinta yang salah.

Sedarlah wahai sahabat-sahabatku, bezakanlah antara cinta suci dan cinta nafsu. Cinta nafsu sering merosakkan dan melemahkan. Teringat saya pada lirik sebuah lagu yang membicarakan mengenai cinta. Ingin saya petik sebahagian daripada lirik lagu ini.... Dua Dunia: Too Phat ft Datuk Siti Nurhaliza. "Kenapa bercinta jika kesudahannya pasrah, kerna bila dilamun indahnya tidak terkata...". Demikianlah, sebahagian daripada lirik lagu tersebut.Kepasrahan yang lahir daripada cinta nafsu telah diakui dan disedari oleh ramai manusia. Hanya kerana keseronokan yang sementara, manusia melupakan kekecewaan yang bakal menunggu di penghujungnya. Berapa ramai anak-anak muda yang kecundang dalam pelajaran kerana cinta nafsu ini. Berapa ramai juga tokoh-tokoh terkemuka dunia yang hancur karier kerjayanya kerana cinta nafsu ini.

Cinta nafsu ibarat kurap. Makin digaru makin sedap. Tetapi kurap yang digaru itu semakin lama semakin parah dan membinasakan walaupun rasa "sedap" seketika ketika digaru.... Begitulah cinta nafsu yang hanya menjanjikan keseronokan sementara yang akhirnya menuju kekecewaan. Cinta sebelum berkahwin hanya menjanjikan keseronokan sementara yang mengecewakan. Cinta selepas berkahwin pula datang bersama
tanggungjawab yang perlu dipikul yang akan mematangkan pasangan disamping menjanjikan keseronokan yang diikat bersama kesetiaan. In conclusion, cinta yang suci hanyalah cinta selepas perkahwinan................

P/S: ada pendapat?
no image

3 pertanyaan buat renungan

Ada seorang pemuda yang sudah lama menuntut di Amerika telah kembali ke Tanah air. Sesampainya di rumah ia meminta kepada orang tuanya untuk mencari seorang Guru agama, ustaz atau siapapun yang  mampu menjawab 3 pertanyaannya.Akhirnya Orang tua pemuda itu mendapatkan orang tersebut.

Pemuda : Anda siapa? Dan apakah mampu menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?
Ustaz : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda
Pemuda : Anda yakin? Sedangkan Profesor dan banyak orang pintar pun tidak mampu menjawab pertanyaan saya.
Ustaz : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya
Pemuda : Saya punya 3 buah pertanyaan; 1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukkan wujud Tuhan kepada saya. 2. Apakah yang dinamakan takdir. 3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan, sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?
Tiba-tiba Ustaz tersebut menampar pipi si Pemuda dengan keras.
Pemuda (sambil menahan sakit) : Kenapa anda marah kepada saya?
Ustaz : Saya tidak marah...Tamparan itu adalah jawapan saya atas 3 buah pertanyaan yang anda  tujukan kepada saya
Pemuda : Saya sungguh- sungguh tidak mengerti
Ustaz : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit
Ustaz : Jadi anda percaya bahwa sakit itu ada? 
Pemuda : Ya
Ustaz : Tunjukkan pada saya wujud sakit itu !
Pemuda : Saya tidak boleh...
Ustaz : Itulah jawapan pertanyaan pertama: kita semua merasakan keberadaan Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya. Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?
Pemuda : Tidak
Ustaz : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima sebuah tamparan dari saya hari ini?
Pemuda : Tidak
Ustaz : Itulah yang dinamakan Takdir
Ustaz : Dibuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar anda?
Pemuda : Kulit
Ustaz : Dibuat dari apa pipi anda?
Pemuda : Kulit
Ustaz : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda : Sakit
Ustaz : Walaupun Syaitan terbuat dari api dan Neraka terbuat dari api, jika Tuhan berkehendak maka Neraka akan menjadi tempat menyakitkan untuk syaitan.

Renungkanlah...
HUBUNGI
Press Esc to close
Copyright © 2013 kembara Hadi All Right Reserved
close